Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Israel akan meningkatkan serangan terhadap kumpulan yang didakwa mereka sebagai pro Iran di Syria, selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari negara itu, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, hari ini.
Menurut beberapa pegawai Israel, tindakan Presiden A.S untuk mengundurkan tentera negara Barat itu dari bumi Syria, mungkin memberikan kelebihan kepada Iran memandangkan bahawa penghantaran senjata mereka ke Syria melalui Iraq akan menjadi bertambah lancar dengan ketiadaan tentera A.S.
Israel juga bimbang bahawa pengunduran sekutu utamanya itu mungkin mengurangkan kelebihan diplomatik mereka di ketika berhadapan dengan pihak Russia yang merupakan salah sebuah negara sekutu Syria. Iran dan Rusia turut serta di dalam konflik di Syria selepas mendapat permintaan rasmi daripada Damsyik sendiri.
“Kami akan terus bertindak secara agresif terhadap usaha Iran mengukuhkan kuasa di Syria. Kami tidak merancang untuk mengurangkan tindakan. Bahkan, kami akan meningkatkannya.
“Saya tahu kami akan melakukannya dengan sokongan penuh A.S,” kata Netanyahu yang merujuk kepada kempen serangan udara Israel di Syria. Israel mendakwa bahawa serangan tersebut dilancarkan ke atas proses penghantaran tentera dan senjata Iran kepada kumpulan Hezbollah di Lubnan. Dakwaan tersebut disangkal keras oleh kerajaan Syria.
Menurut kerajaan Syria, operasi tentera Israel menyasarkan tentera negara Arab tersebut dalam rangka memberikan kelebihan kepada kumpulan militan yang beroperasi berhampiran dengan sempadan Syria dan Israel.
Kerajaan Syria juga selama ini kerap membekalkan bukti untuk menyokong dakwaan mereka bahawa rejim Israel secara berterusan memberikan sokongan material dan lojistik kepada sebahagian kumpulan militan yang beroperasi di Syria.
Keberadaan A.S di bumi Syria juga dianggap Damsyik sebagai pencerobohan negara Polis Dunia itu ke atas wilayahnya kerana Washington tidak memiliki sebarang mandat daripada PBB atau Damsyik sendiri untuk mengesahkan keberadaan tentera mereka di negara Arab itu. Iran dan Rusia pula berada di Syria dan menjalankan operasi pembasmian kumpulan pengganas di atas permintaan Damsyik sendiri. - Reuters/Berita Harian
20 Disember 2018 - 17:04
News ID: 921444
Israel akan meningkatkan serangan terhadap kumpulan yang didakwa mereka sebagai pro Iran di Syria, selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari negara itu, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, hari ini.